Saturday, October 9, 2010

Pendekatan psikologi dalam mendidik anak

Dalam menjayakan usaha mendidik anak menjadi seorang insan yang berakhlak mulia, anda perlukan pendekatan psikologi. Caranya sungguh mudah tetapi menuntut komitmen tidak berbelah bahagi daripada diri anda sendiri. Gunakan ayat-ayat tertera setiap kali berkomunikasi dengan anak di kala anda berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh si manja.

1. “Buatlah pilihan sekarang.”
Frasa ini boleh digunakan ketika menyuruh anak melakukan sesuatu. Ataupun
ketika mahu menghentikan apa yang dilakukannya pada itu. Cara ini dapat mengajarnya supaya bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.
Misalnya, dia dan rakannya begitu bising bermain di dalam rumah. Jadi, anda mahu mereka bermain di luar agar anda boleh menyiapkan kerja-kerja rumah dengan tenang. Namun, anak anda masih berdegil.

“Kakak, kalau tak boleh main diam-diam, pergi main di luar.” Jika dia masih berdegil, anda boleh membuat tindakan susulan dengan berkata, “Mama rasa, kakak memang nak main di luar.” Cara ini bukan sahaja mengajarnya tentang kesan dan akibat tetapi melatih
dia agar bijak memilih dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.

2. “Mama sayang kakak, tapi cara kakak tu tak betul.”
Ayat ini dimulakan dengan pujian dan diakhiri dengan nasihat. Inilah cara terbaik untuk memujuk anak yang ada kalanya menunjuk perangai. Dalam keadaan tertentu, dia tidak dapat berfikir dengan baik. Selain itu, kata-kata ini juga dapat menyedarkan anak supaya tidak melakukan perkara yang tidak baik berulang kali. Dia akan faham, jika dia melakukan perkara yang dilarang, bermakna dia akan menjadi orang yang tidak disenangi. Inilah cara terbaik bagaimana anda mendisiplinkan anak dengan cara halus dan lembut.

3. “Boleh kakak tolong mama?”
Jika anak mengganggu ketika anda memasak di dapur, apa kata ucapkan ayat di atas.
Ajak mereka membantu anda membuat kerja yang mudah dan ringkas. Biar dia membantu mengemas meja makan dan menyediakan pinggan, mangkuk, sudu dan sebagainya. Ini akan membuatkan dia rasa dipercayai dan bersedia menerima sebarang tanggung jawab.

4. “Apa sebenarnya yang kakak nak cakap?”
Bila anak marah, macam-macam perkataan yang terhambur dari mulutnya. “Mama ni teruklah!” atau “ Kakak benci mama!”. Kata-kata ini terkeluar kerana ketika itu dia tidak
dapat berfikir dengan baik. Jadi, jangan anggap anak maksudkan apa yang dikatanya.
Cari punca mengapa dia berkata sedemikian. Caranya mudah saja. Misalnya, anak marah bila anda menyuruhnya tidur. Tanya dengan lembut. “Apa yang membuatkan kakak marah sangat pada mama? Sebab kakak tak boleh tengok TV?” Kemudian, jelaskan mengapa anda menyuruh dia tidur. “Mama bukan tak bagi kakak tengok TV. Hari dah lewat, esok kakak nak pergi sekolah. Kalau tidur lewat nanti di sekolah, kakak mengantuk pula.” Penjelasan perlu diberikan agar dia tahu bahawa tindakan yang anda sememangnya wajar demi kebaikannya.

5. “Kakak kena faham. Tidak semua orang sama.”
Bila anak mula merajuk dan mengatakan anda tidak berlaku adil kepadanya, ayat ini sangat bagus untuk digunakan sebagai alasan. Anda perlu bantu anak supaya faham bahawa manusia ini dijadikan berbeza-beza. Maka, layanan pun berbeza mengikut keadaan dan tempat.
Misalnya, anak anda bengang bila anda membelikan adiknya sepasang kasut bola. Sudah semestinya anak perempuan tidak memerlukan kasut bola kerana dia tidak bermain bola sepak seperti kanak-kanak lelaki. Meskipun begitu, anda perlu berwaspada dalam soal melayan anak-anak. Jangan sampai timbul sebarang perbezaan yang menjurus kepada melukakan perasaan.

Berkongsi cerita...bacalah

KISAH 1

ANDAI ITU TAKDIRNYA

Bisikan hati seorang ibu biasanya tidak pernah salah. Sejak melahirkan anak keduanya, Muhammad Syaquille pada 29 September 2009 di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, naluri keibuan Shasheila Sa’dan, 28, dapat merasakan ada yang tidak kena pada bayi yang manja disapa Aqil. HASNITA SAWAL mendengar rintihan ibu muda ini.

Cara Aqil bernafas nampak berbeza dibandingkan dengan bayi lain. Menurut Shasheila, pernafasan Aqil sangat laju, dada dan perutnya bergelombang dan keadaannya bertambah teruk bila dia kepanasan dan berpeluh.

Ketika usianya seminggu, Aqil ditahan di dalam wad akibat jaundis. Walaupun sehari sahaja ditahan tetapi Shasheila terpaksa berulang alik ke hospital dan klinik kesihatan saban hari hingga usia Aqil 35 hari kerana jaundisnya tidak turun.

Apabila si ibu bertanyakan lagi keadaan Aqil kepada doktor, jawapan yang diterima tetap sama. Ia adalah normal. Namun ketika melihat keadaan Aqil yang didukung ibu mentua bernafas tercungap-cungap, Shasheila dan suami, Mohd. Shahril A.Manan, 30, bergegas membawa Aqil ke wad kecemasan tetapi tetap mendapat jawapan yang sama.

“Tetapi naluri saya kuat berkata, ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi saya. Saya bawa dia ke klinik swasta dan doktor kata dia temui sesuatu yang luar biasa dan minta saya rujuk ke mana-mana hospital pakar kanak-kanak.

Bila saya terangkan keadaan Aqil bernafas, doktor menemui kelainan pada salur pernafasan dan merujukkan kes Aqil ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru di bahagian kepakaran Teliga, Hidung dan Mulut (ENT).

Selepas ujian skop, doktor memberitahu saluran pernafasan Aqil sempit dan tidak matang, sebab itu dia bernafas agak laju dan kadang kala berbunyi. Katanya saluran itu akan normal dalam masa dua tahun dan kami perlu membawanya untuk pemeriksaan setiap enam bulan,” ceritanya mengakui lega kerana akhirnya tahu apa masalah Aqil.



Berita sedih
Namun kelegaan Shasheila hanya seketika apabila tiba-tiba Aqil diserang batuk, selesema dan demam yang teruk. Hampir seminggu berulang alik ke klinik untuk rawatan gas nebulizer.

Bila keadaan makin baik, doktor periksa dan kata ada bunyi desiran atau bising. Biasanya ia berlaku hanya pada bayi yang ada masalah jantung. Dia terkejut sangat. Doktor pujuk Shasheila dan katanya pemeriksaan awal lebih baik kerana jika dikesan, boleh lakukan rawatan cepat dan jika tiada apa-apa lagi bagus. Akhirnya kes Aqil dirujuk ke hospital besar bahagian pediatrik (kardiologi).

“Tarikh 14 Disember lalu ketika Aqil berusia dua bulan 16 hari iaitu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan ketiga kami, lawatan ke klinik kardiologi membuatkan saya seperti dihempap batu di atas kepala apabila doktor memberitahu anak saya memang ada masalah jantung.

Jantung Aqil ada lubang dan sangat besar untuk bayi usianya iaitu 11 mm dan hanya pembedahan cara mengubatinya. Jika lubang bawah 5 mm, akan tertutup sendiri. Saat itu saya rasa dada macam hendak pecah menahan sebak, sedih sangat bila tengok Aqil,”

Bermulalah hari-hari menyedihkan dalam hidup mereka sekeluarga. Aqil mula masuk wad sejak 13 Januari lalu hingga sekarang. Hari-hari yang dilalui oleh Shasheila dan suami penuh dengan debaran dan kebimbangan. Dia juga terpaksa meninggalkan anak sulung, Syaza Darwisyah, dua tahun lima bulan di bawah jagaan ibu mentua.

Derita si kecil
Menurut doktor, paru-paru Aqil tidak mendapat oksigen yang cukup kerana salur yang membekalkan oksigen dari jantung ke paru-paru telah ditekan oleh salur darah besar. Oleh itu si kecil ini memerlukan bantuan oksigen.

Pada 24 Januari lalu, Aqil ditahan di wad ICU kerana nafasnya tercungap-cungap dan tidak stabil. Di dalam wad tersebutlah pelbagai hal dan penyakit terjadi pada Aqil.

“Mulanya doktor mengatakan paru-paru Aqil tidak normal. Ada sesuatu berkumpul dalamnya dan tidak keluar. Tetapi malam hari tersebut, Aqil demam kuat hingga diserang sawan.

Doktor mengambil air tulang belakangnya kerana takut ada jangkitan pada otak dan Alhamdulillah keputusannya negatif. Berminggu-minggu juga Aqil ditidurkan kerana doktor hendak rehatkan jantungnya (degupan jantung tinggi sangat).

Dalam pada itu Aqil kena jangkitan paru-paru hingga dua minggu. Doktor pun pelik kenapa jangkitan masih tidak hilang walhal macam-macam ubat antibiotik mereka bagi. Selepas dirujuk pada pakar ENT untuk broncoscopy, keputusan menunjukkan selama ini Aqil muntah akan masuk kembali ke dalam paru-paru. Sebab itu jangkitan tak hilang,” ujarnya barulah dia sedar sejak lahir anaknya payah hendak muntah. Dengan kuasa Allah SWT, jangkitan Aqil hilang dan dia berada dalam senarai pesakit ke Institut Jantung Negara (IJN) tetapi dugaan lain pula hadir bila dia mendapat jangkitan lain pula.

“Saya perasan ada bintik-bintik seperti demam campak di belakang telinganya. Keputusan dari makmal mendapatinya ianya herpes (kayap). Hairan macam mana dia dapat kuman tu sebab dia diasingkan dalam bilik seorang diri.

Doktor kata nasib Aqil sudah jatuh ditimpa tangga, dia perlu tunggu paling maksimum enam minggu untuk habiskan ubat antibiotik dan hilangkan jangkitan. IJN tidak terima pesakit yang ada jangkitan kerana Aqil perlu buat pembedahan besar.

Mummy reda lepaskan
Sehari sebelum Tahun Baru Cina, degup jantung Aqil naik mendadak walaupun ketika dia tidur. Menurut Shasheila, sampai ke satu tahap, degup jantung anaknya yang sedang tidur naik hingga 206.

“Tengah malam itu, Aqil hampir koma semula. Degup jantungnya naik turun dari 200 ke 199 ambil masa 30 minit. Saya cuma mampu menatap dengan sebak di dada Aqil yang terbaring dengan dada bergelombang,” ceritanya dengan sedih mengenangkan nasib anak tersayang.

Pagi yang cerah, Shasheila dikejutkan dengan berita yang hampir merentap hati ibunya apabila disuruh berjumpa doktor pakar, dia melihat keadaan Aqil yang amat nazak.

Doktor pakar tersebut mengatakan keadaan anaknya memang teruk. Gas karbon dioksida dalam paru-parunya sampai 200. Orang normal hanya perlukan 30 hingga 40 sahaja.

“Doktor tu suruh saya telefon suami dan tunggu Aqil sebab dia boleh pergi bila-bila masa saja. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana hati saya ketika itu. Dalam kepayahan Aqil menarik dan menghembus nafasnya, saya bisikkan di telinganya, ‘kalau adik nak pergi, pergilah...mummy reda.’ Tapi Alhamdullilah, Allah masih sudi meminjamkan Aqil kepada saya sampai ke hari ini,” ceritanya dalam linangan air mata yang tidak henti mengalir.

Diuji lagi
Walaupun keadaan Aqil sukar dijangka tetapi dia stabil namun ujian Allah SWT sekali lagi melanda Shasheila sekeluarga. Aqil disahkan mendapat jangkitan pada matanya oleh pakar mata.

Ulser yang menyerang mata Aqil akan menjadi parut dan pandangan anak malang ini akan kabur sampai bila-bila. Dalam pada itu, pakar jantung memberitahu, doktor di IJN sudah mengkaji masalah jantung Aqil dan mendapati jantungnya tidak boleh ditampal sebab lubang terlalu besar dan ditakuti timbul masalah lain.

Sebagai penyelesaian ia mungkin akan ‘diikat’ untuk sementara sehingga Aqil berusia dua hingga tiga tahun sebelum menjalani pembedahan seterusnya.

“Kata-kata doktor, ‘budak ini perjalanan dia jauh lagi’ membuatkan saya sebak sampai tak mampu bersuara. Saya sangka bila bedah sudah selesai masalah jantung Aqil tapi rupanya Allah masih beri ujian lagi pada kami. Barulah saya tahu kenapa IJN tak terima Aqil pada awal dulu. Rupanya masalah jatung Aqil terlalu kompleks.

Penghujung bulan Februari lalu, Shasheila diberitahu oleh doktor, paru-paru anaknya semakin teruk tetapi laporan perubatan menunjukkan secara fizikal Aqil semakin kuat.

Namun baru-baru ini, dia dikhabarkan dalam darah Aqil doktor menemui pertumbuhan beberapa kuman.

“Saya tidak berhenti berdoa agar urusan Aqil dimudahkan. Biarlah keadaan yang buruk ini berlalu. Apa pun saya reda, kalau Aqil memang untuk saya, akan saya hamparkan dia dengan kasih sayang tidak berbelah bagi. Tetapi jika Allah merancang sebaliknya, sesungguhnya Dia lebih menyayanginya. Saya relakan...saya halalkan setiap susu untuknya,” akhiri ibu muda ini dalam nada sebak menahan kesedihan yang tiada hentinya.


KISAH 2

" Adik, Bangun! Jangan tinggalkan Ummi! "



Lima tahun lamanya dia menantikan kehadiran zuriat dalam rumah tangga. Saat hati sedang berbunga riang menyambut kelahirannya, dia diduga tanpa amaran. Seorang ibu melakukan apa sahaja demi menyelamatkan nyawa buah hatinya. Ikuti kisah selanjutnya seperti diceritakan kepada HASNITA SAWAL.

Riang rasa hati tatkala disahkan hamil. Bayangkan tempoh masa yang ditunggu untuk merasa sendiri pengalaman mengandung hinggakan Azura Ramli, 33, jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) membela anak saudara sebagai anak angkatnya. Setahun kemudian, Azura disahkan hamil. Masih takkan dilupakan pengalaman kontraksi yang dialami semasa kandungan baru berusia 30 minggu. Awalnya dia fikirkan sakit perut biasa tetapi bila dalam tempoh 10 minit, kontraksi selang 20 saat, Azura menggesa suami ke hospital.

Rupanya bukaan pintu rahim sudah 1 sm dan doktor merancang pembedahan caesarean keesokan hari. Jam 8 pagi rasa kontraksi semakin kerap. Azura cuba menahan rasa hendak bersalin tetapi tidak mampu bila air ketuban pecah dan serta merta kaki bayi terjulur keluar. “Tiga kali teran, bayi saya selamat dilahirkan dengan berat 1.58 kg secara songsang tetapi normal,” ujarnya yang menjaga bayi pra-matangnya selama dua minggu dalam inkubator. Azura bersyukur sangat kerana bila berat anak yang diberi nama Syawal melepasi tahap 1.8 kg, dia dibenarkan pulang ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk mendakap si kecil.

Bagai mati hidup semula
Peristiwa malam pertama berada di rumah tak akan dilupakan seumur hidup Azura bergelar ibu. Azura hampir kehilangan anaknya. Dia yang hendak makan malam, meletakkan Syawal dalam katil bayi. Beberapa minit kemudian bila ditoleh sekali lagi, wajah Syawal sudah bertukar warna hitam.

“Bila saya kejutkan, dia tidak bernafas. Saya cuba dengar dekat telinganya tapi tiada sebarang hembusan nafas. Dalam keadaan panik tu saya memang ingat anak dah tak ada.” Namun pengalaman sebagai jururawat membuatkan Azura dengan sepantas kilat melakukan ujian CPR. Ketika itu tubuh badan si kecil sudah hitam legam keseluruhannya. “Sementara saya buat CPR, suami pula menjentik kakinya. Kemudian saya tunggang terbalikkan badan Syawal. Alhamdulillah separuh nyawanya dapat balik.

Kami bergegas ke klinik swasta dan bayangkan saya main redah saja bilik doktor yang sedang ada pesakit. Saya suruh doktor tu buat CPR sekali lagi. Tapi saya yang beri arahan padanya. Saya arahkan, doktor jentik sebelah kaki, suami jentik sebelah lagi. Syukur bila Syawal menangis.”

Terjelepok kerana Syawal
Sangkanya semua sudah selamat tetapi tak sampai beberapa minit, nafas Syawal terhenti sekali lagi. Dugaan apakah ini Ya Allah, bisik hati Azura penuh ketakutan akan kehilangan anak tersayang.

“Saya cakap dengan dia, ‘adik bangun, jangan tinggalkan ummi’. Dengan kuasa Allah, anak saya menangis macam bayi baru lahir. Saya terus jatuh terjelepok sebab bercampur aduk perasaan.” Doktor klinik tersebut bagi surat rujukan untuk terus ke Wad Kecemasan HKL. Dalam pukul 3 pagi, oksigennya turun kembali dan dia terus dipakaikan alat bantuan pernafasan.

Sebulan lamanya Syawal ditahan di wad dan hasil pemantauan dan pemeriksaan, doktor dapati dia ada masalah salur menelan dan bahagian perut yang tidak matang. Segala fungsi dalam perutnya tidak matang membuatkan tiub susu dipasang mengikut mulutnya sehingga usia Syawal lima bulan.Selama tempoh tersebut, Azura mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga anaknya.

Urutan membantu
Tiada yang lebih berharga jika dibandingkan nyawa seorang anak. Sebagai ibu, apa sahaja sanggup dilakukan supaya anak sentiasa sihat. Selain pengalaman sebagai jururawat, Azura banyak membaca buku dan majalah terutama Pa&Ma tentang penjagaan anak pra-matang dan bayi bermasalah refluks.

“Kedudukan semasa menyusukan dan posisi tidur kena betul. Saya ikut betul-betul cara penjagaan bayi pramatang. Selain itu urutan juga banyak membantu Syawal.” Menurut Azura, dia mengikut saranan mengurut bayi pra-matang seperti ditunjukkan dalam majalah sejak Syawal keluar dari hospital. Setiap kali lepas mandi, Syawal akan diurut hinggakan minyak bayi akan habis setiap tempoh seminggu.

Bahkan jika anaknya kurang rehat, dia akan mengurut walaupun di tengah malam. Biasanya sambil mengurut, Azura akan bercakap-cakap dengan Syawal dan dia akui sejak lahir hingga usianya kini, banyak perubahan positif berlaku pada Syawal. Jika dilihat fizikal dan keletah Syawal sekarang, memang tidak disangka anak yang aktif ini pernah hampir kehilangan nyawa. Dia yang kini memiliki berat 10.4 kg, sihat dan lasak bermain.

Mudah berjangkit
Lumrah anak yang lahir pra-matang amat mudah dijangkiti kuman. Demam, selesema dan batuk umpama pakej penyakit yang biasa mereka peroleh. Menurut Azura, anaknya pernah demam teruk hingga naik gelembung melepuh pada badannya dan terpaksa mandikan dengan air ubat. Syawal juga pernah diserang sawan hingga kekejangan dan bajunya terpaksa digunting untuk membasahkan badannya.

Ketika cerita ini sedang ditulis, ummi Syawal memberitahu penulis, anaknya baru sahaja keluar dari hospital selepas ditahan selama dua minggu kerana batuk teruk dan disahkan asma serta disyaki serangan virus influenza (ILI). “Suhu badannya naik sehingga 400C dan paling rendah 380C. Segala ubat yang diberi tidak membantu suhu panasnya turun. Dia turut diserang cirit-birit dan muntah yang teruk. Doktor hampir kehilangan idea memikirkan keadaan Syawal. Tapi dia tetap lasak dan main sahaja walaupun ukuran darah putihnya naik. Alhamdulillah selepas dipantau dan diberi makan ubat antiviral influenza, dia kembali sihat,” ujarnya sambil mengakui sejak Syawal lahir, tidur malamnya tidak pernah lena.

Menurut Azura, jika terjaga di tengah malam, dia mesti usik dan sentuh anaknya. Bila ada gerakan daripada si anak, lega rasa hatinya kerana Syawal masih lagi menghembuskan nafasnya.


Dapatkan Majalah Pa&Ma keluaran Mei 2010 di pasaran.

Tuesday, October 5, 2010

7 Cara Berjimat Untuk Wanita Yang Telah Berkeluarga

Kos kehidupan semakin meningkat. Rakan-rakan saya di pejabat juga kadang-kadang mengeluh sebab semakin banyak perbelanjaan rumah yang perlu di bayar.

Anak-anak yang semakin membesar bermakna anda perlu menambah perbelanjaan isi rumah anda. Memulakan perniagaan secara keci-kecilan adalah satu langkah yang bijak. Bagaimanapun tak semua orang mahu memulakannya.Mungkin tak ada masa atau modal.

Kalau anda belum berani atau tak tahu cara bagaimana memulakannya, anda boleh menambah isi pendapatan di rumah dengan memainkan peranan anda sebagai seorang ibu dan isteri. Caranya adalah dengan berjimat!

Sebagai seorang wanita, isteri dan ibu peranan kita adalah amat penting. Ingat wang mungkin tak boleh memberi kebahagiaan tapi tanpa wang yang mencukupi banyak rumahtangga yang tunggang langgang.

Hari ni saya berikan sedikit tips yang boleh kita praktikkan sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Kata orang jika tak pandai macammana nak tambah duit, kita kenalah berjimat dengan cara mengawal perbelanjaan anda.

* Menetapkan matlamat. Tulis dalam buku catatan anda apa yang penting anda ada dan apa yang kurang penting. Contonhya anda memerlukan sebuah mesin basuh baru dalam masa 3 bulan. Perhatikan apa yang boleh anda kurangkan perbelanjaan untuk membolehkan anda mereliasasikan matlamat anda.

* Jual atau lelong barang rumah yang tak di perlukan. Ini sangat bagus sebab selain mendatangkan wang anda boleh mengosongkan rumah yang sesak.( Boleh jual kat laman lelong internet macam ebay atau pergi je kat Cash Converter- tempat jual barang terpakai ).

* Guna barang recycle. Barang recycle harganya lebih murah. Contonhya dulu saya membeli buaian anak saya sebab malas nak beli baru dan harganya mahal! Saya beli je di Cash converter , tak sampai RM 30 pun. Sampai sekarang boleh pakai :) Kalau di shopping complex dah cecah ratus ringgit!

* Mulakan menabung dari sekarang. Jika selama ini anda jarang menabung, kenapa tak mulakan dari sekarang. Mulakan dari jumlah yang anda termampu dahulu.Kata orang sekit-sikit lama-lama jadi bukit.

* Catitkan aliran wang keluar dan masuk . Mungkin ia agak sukar pada awalnya tapi dengan mencatitkan perbelanjaan, anda dapat melihat samada barang anda beli benar-benar di perlukan.

* Didik anak-anak kepentingan menabung . Berikan anak anda tabung dan minta mereka masukkan wang lebihan belanja sekolah ke dalam tabung simpanan mereka. Terangkan bagaimana wang tabung itu amat penting jika terjadi apa-apa pada anda sekeluarga.

* Kurangkan makan di luar. Makan di luar menuntut perbelanjaan yang lebih.Bukan tak boleh langsung tapi kawallah perbelanjaan anda.

Selepas ini cuba anda perhatikan setiap bulan samada apa yang anda lakukan di atas bermanafaat untuk anda sekeluarga.

Saya pasti anda pasti tersenyum kerana wang yang berlebih setelah anda berjimat boleh di gunakan untuk simpanan atau memiliki barang yang anda idamkan.

Selamat mencuba.

7 Ciri Isteri Idaman Suami

Bagi wanita yang bakal mendirikan rumahtangga tentunya mengimpikan kebahagiaan berkekalan. Persoalan yang timbul ialah bagaimana untuk menjadi wanita idaman lelaki soleh. Banyak yang perlu dipelajari terutamanya tentang hubungan suami isteri. Dari pandangan seorang lelaki berikut ialah 7 ciri-ciri isteri idaman suami:

1. Taat kepada suami - ini perkara paling penting. Sentiasa ingat bahawa syurga anda terletak di bawah telapak kaki suami. Minta kebenaran untuk keluar dari rumah untuk pergi ke mana sahaja. Pastikan makan minum dan pakaian suami dijaga. Bagi wanita bekerja, ini mungkin memenatkan. Mintalah pertolongan dari suami untuk melakukan kerja-kerja lain. Sifat tolak ansur merupakan asas utama dalam mengeratkan hubungan suami isteri.

2. Lemah lembut - lelaki suka kepada perempuan begini. Elakkan meninggi suara walaupun anda sedang marah. Jika dimarahi, tenangkan perasaan dan jangan bertengkar. Apabila kemarahan si suami sudah reda, pujuklah dia dengan kata-kata lembut. Di kala ini anda boleh menyatakan pendapat anda tentang sesuatu isu. Suami memang suka dipujuk dan ini akan membuatkan dia lebih sayang kepada anda.

3. Jaga penampilan diri - pastikan penampilan yang menarik dengan memakai pakaian yang cantik dan digemari oleh suami anda. Pakai sedikit make up untuk menawan hatinya. Jaga kebersihan diri dan pakailah haruman yang bersesuaian. Untuk isteri yang telah melahirkan anak, pastikan anda berpantang selepas bersalin. Anda tidak akan menyesal kerana berpantang memang banyak kebaikannya. Satu petua kekal dara yang paling popular dari Ustazah Fatimah Az Zahra ialah dengan mengamalkan ayat-ayat ini selepas solat Isya'.
* Ambil segelas air
* Baca Al Fatihah 1 kali
* Baca Ayat Kursi 1 kali
* Baca Surah Al Waqiah ayat 35-38 sebanyak 7 kali
* Tiupkan ke dalam air tadi dan minumlah perlahan-lahan.

4. Jaga maruah diri dan keluarga - Di dalam pergaulan seharian, elakkan dari mengumpat dan mengeji orang lain. Bataskan hubungan dengan kawan-kawan anda terutamanya dengan lelaki.

5. Berjimat - Uruskan perbelanjaan dengan bijak. Walaupun mempunyai pendapatan sendiri, elakkan berbelanja untuk perkara yang tidak penting. Pelajari cara-cara berjimat kerana ini mungkin dapat membantu suami di kala dia dalam kesulitan. Bila ada kelapangan, masaklah makanan kegemaran suami anda. Di samping mengurangkan perbelanjaan, ini juga dapat merapatkan lagi hubungan anda dengan si suami.

6. Mengekalkan hubungan baik dengan mertua - Sesudah berkahwin, anda telah mempunyai satu lagi tambahan keluarga. Walaupun banyak perbezaan dengan keluarga sendiri, jagalah hubungan dengan mertua dengan sebaiknya. Elakkan bermusuhan dengan mereka kerana kelak akan menjejaskan hubungan dengan suami anda.

7. Selalu berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan keluarga - Berdoalah setiap kali selepas sembahyang supaya Allah memurahkan rezeki, memudahkan urusan seharian dan menjauhkan anda dan keluarga dari bahaya. Untuk senarai ayat-ayat Al Quran yang elok di amalkan, sila rujuk forum sahabat kita di sini. Semoga kita mendapat kerahmatan dariNya..InsyaAllah.

Monday, October 4, 2010

kawan-kawan marilah luangkan masa sekejap....


ku dapat kesah nie dari facebook...memang sedih...kesian...simpati... bayangkan kalau perkara yang sama terjadi pada diri kita dan anak kita...Ya Allah, minta dijauhkan...tapi yerlaa...berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul...apalah daya kita untuk menolak takdir Allah...sesungguhnya kita hanya mampu berusaha dan berdoa, selebihnya Allah jua lah yang Maha Berkuasa...

kawan-kawan, marilah luangkan sedikit masa untuk membaca kesah duka seorang ibu malang ini...dan sama-samalah kita membantu apa yang termampu...semoga usaha kita dapat meringankan beban ibu ini dan memberi sinar kehidupan kepada bayi ini sepertimana bayi-bayi yang lain...


Saya Rohaiza Bte Ishak. Saya merupakan guru Kemahiran Hidup di MRSM Muar. Tujuan saya menulis email ini ialah untuk memohon belas kasihan dari pembaca kerana anak kedua saya yang bernama NurHannah Bte Mohamed Helmi berusia 3 bulan tidak sihat.

Ketika bersalin, anak saya lemas kerana tali pusat keluar lebih kurang 40 minit sebelum saya bersalin. Ini menyebabkan anak saya lemas kerana tidak mendapat oksigen kerana tali pusat sudah terkeluar.

Apabila doctor scan (MRI) otak anak saya, doctor menyatakan bahawa anak saya terencat akal kerana sel-sel otak telah mati kerana kekurangan oksigen. Hanya Allah yang tahu apa yang saya rasa ketika itu.

Kaki bagaikan tidak jejak ke bumi. Muka saya pucat bagaikan tiada darah lagi. Hampir 3 minggu saya mengambil masa untuk terima hakikat apa yang doctor terangkan mengenai anak saya. Hari-hari saya menangis. Saya rasakan hati saya kosong.

Selepas 3 minggu saya cuba berkongsi masalah dengan teman sekerja. Semangat saya mula datang apabila ada rakan yang mengalami situasi yang sama seperti saya iaitu anak mereka lemas ketika bersalin. Doktor juga menyatakan anak mereka terencat akal. Tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya dan anak mereka alhamdulillah sihat. Tetapi saya akui bahawa saya hanya insan yang lemah. Kadang-kadang saya kuat, kadang-kadang saya lemah sangat.

Rakan menasihati saya agar perbanyakkan solat hajat, baca yassin dan bersedekah. Alhamdulillah. Saya melakukan semua nasihat yang mereka berikan. Perkembangan terbaru tentang anak saya ialah dia masih lagi belum boleh menghisap dan menelan. Minum susu menggunakan tiub yang dimasukkan terus ke perut. Suction machine pula digunakan untuk menyedut air liur kerana anak masih tidak boleh menelan.

2 minggu lepas anak dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman pada paru2. Ketika itu keadaan anak terlalu lemah menyebabkan doctor sukar mencari urat anak. Pilihan kedua ialah masukkan line hingga ke tulang.

Sekali lagi anak saya diduga iaitu selepas 3 hari kaki anak bengkak. Apabila doctor buat x-ray, rupanya kaki anak saya patah kerana dicucuk ketika memasukkan line.Pergerakan anak saya tidak seaktif bayi kerana kesan kurangnya oksigen di otak ..tambahan pula kaki kanan anak bersimen.

Hanya Allah tempat saya mengadu. Jika boleh, biarlah saya yang menanggung semua kesakitan itu, bukan anak saya yang berumur 3 bulan. Minum guna tiub, tak tahu menelan…kaki pula bersimen.

Kalian bayangkanlah bagaimana perasaan seorang ibu yang menjaga janin dalam kandungan bagaikan menatang minyak yang penuh. Tetapi selepas lahir, begitu besar ujian untuk anak saya.Terus terang saya katakan bahawa ini adalah ujian yang maha-maha besar dalam hidup saya. Saya bersyukur kerana Allah menguji saya kerana Dia sayangkan saya dan anak.

Dikesempatan ini saya memohon, merayu dan menagih simpati agar kalian dapat meluangkan masa untuk melakukan sembahyang hajat agar kesihatan anak saya pulih dan jauhkanlah anak saya dari sebarang kecacatan.

Andainya terlalu berat permintaan saya, bacakanlah Al-Fatihah. Jika permintaan ini juga berat, cukuplah kalian mengucapkan INSYAALLAH agar anak saya sihat, dijauhkan dari kecacatn dan dipulihkan kerosakan pada otaknya. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kalian, doa kalian dimakbulkan. Hanya Allah yang mampu membalas budi kalian.

Saya juga memohon agar kalian dapat forwardkan email ini kepda rakan-rakan kalian agar dapat membantu anak saya. Kesihanilah anak saya kerana dia terlalu kecil untuk memahami erti kesakitan. Jika ada nasihat, pengalaman dan ilmu..emailkanlah kepada saya rozex_3056@yahoo.com.my. Di sini saya sertakan panduan sembahyang hajat. Mudah-mudahan bolehlah kalian amalkan jika ingin memohon sesuatu hajat. Percaya dan yakinlah bahawa Allah maha mendengar doa dari hambaNya.

Solat Hajat

1) Niat Ushalli sunnatal hajati rak’ataini lillaahi ta’aala.

2) Tiap-tiap 2 rakaat sesudah membaca al-fatihah, baca Ayat kursi 1x, dan Kul huallah huahad sebanyak 1x.

3) Sehabis salam yang terakhir, sujud semula. teruslah meminta hajat kepada Allah dengan khusyuk.Insyaallah Allah makbulkan.

Ayat Kursi

Allahu laa ilaaha illaa huwal hayyl qayuum, la tak khu-dzuhuu sinataunw walaa naw-um, lahuu maa fis samawaati wamaa fil-ardhi, man dzal-la-dzii yasy-fa-‘u indahuu illaa bi-idz-nihii, ya’-lamu maa bayna aydiihim, wamaa khal-fahum walaa yuhii-thuuna bi-syai-inm min’ilmihii illa bimaa syaa-a, wasi-‘a kursiy-yuhus samaawaati wal-ar-dha, walaa ya-uu-duhuu hifzhuhumaa wahuwal ‘aliy-yul azhim.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails