Monday, October 26, 2009

10 Sebab Lelaki Mahu Bergelar Suami




Kita seringkali mendengar kenyataan bahawa lelaki tidak sukakan komitmen yang terlalu serius dalam sesuatu hubungan. Apatah lagi jika hubungan yang terjalin masih terlalu baru dan usia mereka juga masih muda.

Namun ada beberapa sebab mengapa tiba-tiba lelaki yang sebelum ini selesa bergelar solo mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Memang ramai kawan-kawan yang terkejut dengan keputusan yang diambilnya, tetapi dia seolah-olah nekad dan tidak mahu berundur ke belakang lagi. Ketahui 10 sebab mengapa golongan lelaki mengambil keputusan begitu.

1. Melengkapi hidup
Hidup tidak akan lengkap selagi tidak ada insan istimewa di sisi. Jadi apabila sudah menemui seorang wanita yang dirasakan cukup serasi, lebih baik dia mengikatnya dengan tali perkahwinan. Bak kata orang, biarpun telah punya kerja dan harta yang melimpah ruah, namun jika tiada seorang isteri, kehidupan tetap akan terasa kurang serinya.

2. Ingin diurus
Ini satu lagi sebab mengapa lelaki mahu beristeri. Mereka mahu seseorang menguruskan mereka. Jika semasa kecil ibu yang banyak menghabiskan masa melayan karenah mereka, kini sudah tiba masanya mereka mencari seorang isteri yang mampu memenuhi keperluan mereka. Mereka akan berasa bahagia jika ada orang yang menyiapkan makan minum dan pakaian mereka setiap hari.

3. Bosan
Bagi golongan lelaki yang telah mempunyai segala-galanya dalam hidup mereka, berkahwin merupakan cara terbaik untuk mereka menghilangkan kebosanan. Apabila sudah berkahwin, mereka akan mulakan kehidupan baru dan biasanya kehidupan berumahtangga lebih berwarna-warni jika dibandingkan dengan kehidupan bujang.

4. Amat mencintai
Alasan ini memang selalu digunakan oleh lelaki untuk berkahwin. Selalunya mereka yang menggunakan alasan sebegini memang sudah tidak boleh ditegah kerana kehidupan mereka hanya boleh diteruskan dengan insan yang dicintai di sisi. Lebih romantik dirasakan apabila si pasangan juga tidak mampu meneruskan hidup tanpa si lelaki bersama.

5. Sudah bersedia
Selalunya lelaki yang mahu berkahwin sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental untuk menempuh ke alam baru. Sebenarnya bukan mudah untuk lelaki mengambil keputusan mendirikan rumahtangga, tapi apabila dia sudah menyatakan hasratnya, itu bermakna dia memang telah benar-benar bersedia.

Maklumlah zaman sekarang rasa cinta semata-mata tidak mampu menjanjikan kebahagiaan. Rasa cinta perlu dilengkapi juga dengan wang ringgit dan rumah yang selesa untuk didiami. Barulah keluarga bahagia dapat dibina.

6. Inginkan keturunan
Lelaki sangat sensitif apabila bercerita tentang keturunan. Jadi, satu-satunya cara untuk menunjukkan kejantanan mereka adalah dengan berkahwin. Malah ada juga yang beranggapan, mereka bukan lelaki sejati selagi tidak mempunyai anak.

7. Penat bercinta
Lelaki yang pernah mengalami putus cinta selalu menjadikan perkara ini sebagai alasan untuk mereka berkahwin. Selain tidak mahu berasa kecewa sekali lagi, mereka juga berfikir bercinta hanya menghabiskan duit dan membuang masa. Jadi lebih baik berkahwin kerana selain dapat mengeratkan hubungan yang terjalin, masa dan wang ringgit juga dapat dijimatkan.

8. Desakan keluarga
Alasan sebegini selalunya diberikan oleh anak sulung lelaki. Walaupun mereka belum bersedia tetapi mereka terpaksa berkahwin atas desakan keluarga yang mahu melihat dia berumahtangga dan ada orang yang akan menguruskannya. Lebih parah jika kedua ibu bapa lelaki tersebut mempunyai penyakit kronik sehingga selalu keluar masuk ke hospital.

Lelaki sebegini biasanya lebih mementingkan keluarga berbanding kemahuan dirinya sendiri. Walaupun ramai yang ragu-ragu dengan kebahagiaan yang bakal dikecapi dengan perkahwinan sebegini, tetapi jika lelaki tersebut berkahwin dengan wanita yang bijak mengambil hatinya, sudah pasti hubungan yang terjalin akan kekal selamanya.

9. 'Biological clock'
Lelaki juga mempunyai 'biological clock' mereka sendiri. Cuma masanya berbeza dengan wanita kerana fokus utama mereka biasanya pekerjaan dan mengumpul harta sebanyak mungkin terlebih dahulu. Walaupun lelaki tidak ada hambatan biologikal seperti wanita yang sukar mendapatkan anak jika berumur lebih 30 tahun, namun lelaki yang sudah berumur tetap risau jika tidak berkahwin sedangkan umur semakin meningkat. Untuk mengatasi rasa bimbang tersebut, lelaki akan mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

10. Tiba masanya
Kepada wanita, jangan risau jika teman lelaki anda tidak mahu memberikan komitmen buat masa ini. Ini kerana apabila sudah tiba masanya dia pasti akan mencari anda dan menyatakan hasratnya untuk hidup bersama anda. Oleh itu, jangan terlalu memaksa kerana itu hanya akan membuatkan dia semakin bosan dengan anda.

No comments:


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails