Saturday, October 9, 2010

Berkongsi cerita...bacalah

KISAH 1

ANDAI ITU TAKDIRNYA

Bisikan hati seorang ibu biasanya tidak pernah salah. Sejak melahirkan anak keduanya, Muhammad Syaquille pada 29 September 2009 di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya, naluri keibuan Shasheila Sa’dan, 28, dapat merasakan ada yang tidak kena pada bayi yang manja disapa Aqil. HASNITA SAWAL mendengar rintihan ibu muda ini.

Cara Aqil bernafas nampak berbeza dibandingkan dengan bayi lain. Menurut Shasheila, pernafasan Aqil sangat laju, dada dan perutnya bergelombang dan keadaannya bertambah teruk bila dia kepanasan dan berpeluh.

Ketika usianya seminggu, Aqil ditahan di dalam wad akibat jaundis. Walaupun sehari sahaja ditahan tetapi Shasheila terpaksa berulang alik ke hospital dan klinik kesihatan saban hari hingga usia Aqil 35 hari kerana jaundisnya tidak turun.

Apabila si ibu bertanyakan lagi keadaan Aqil kepada doktor, jawapan yang diterima tetap sama. Ia adalah normal. Namun ketika melihat keadaan Aqil yang didukung ibu mentua bernafas tercungap-cungap, Shasheila dan suami, Mohd. Shahril A.Manan, 30, bergegas membawa Aqil ke wad kecemasan tetapi tetap mendapat jawapan yang sama.

“Tetapi naluri saya kuat berkata, ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi saya. Saya bawa dia ke klinik swasta dan doktor kata dia temui sesuatu yang luar biasa dan minta saya rujuk ke mana-mana hospital pakar kanak-kanak.

Bila saya terangkan keadaan Aqil bernafas, doktor menemui kelainan pada salur pernafasan dan merujukkan kes Aqil ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru di bahagian kepakaran Teliga, Hidung dan Mulut (ENT).

Selepas ujian skop, doktor memberitahu saluran pernafasan Aqil sempit dan tidak matang, sebab itu dia bernafas agak laju dan kadang kala berbunyi. Katanya saluran itu akan normal dalam masa dua tahun dan kami perlu membawanya untuk pemeriksaan setiap enam bulan,” ceritanya mengakui lega kerana akhirnya tahu apa masalah Aqil.



Berita sedih
Namun kelegaan Shasheila hanya seketika apabila tiba-tiba Aqil diserang batuk, selesema dan demam yang teruk. Hampir seminggu berulang alik ke klinik untuk rawatan gas nebulizer.

Bila keadaan makin baik, doktor periksa dan kata ada bunyi desiran atau bising. Biasanya ia berlaku hanya pada bayi yang ada masalah jantung. Dia terkejut sangat. Doktor pujuk Shasheila dan katanya pemeriksaan awal lebih baik kerana jika dikesan, boleh lakukan rawatan cepat dan jika tiada apa-apa lagi bagus. Akhirnya kes Aqil dirujuk ke hospital besar bahagian pediatrik (kardiologi).

“Tarikh 14 Disember lalu ketika Aqil berusia dua bulan 16 hari iaitu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan ketiga kami, lawatan ke klinik kardiologi membuatkan saya seperti dihempap batu di atas kepala apabila doktor memberitahu anak saya memang ada masalah jantung.

Jantung Aqil ada lubang dan sangat besar untuk bayi usianya iaitu 11 mm dan hanya pembedahan cara mengubatinya. Jika lubang bawah 5 mm, akan tertutup sendiri. Saat itu saya rasa dada macam hendak pecah menahan sebak, sedih sangat bila tengok Aqil,”

Bermulalah hari-hari menyedihkan dalam hidup mereka sekeluarga. Aqil mula masuk wad sejak 13 Januari lalu hingga sekarang. Hari-hari yang dilalui oleh Shasheila dan suami penuh dengan debaran dan kebimbangan. Dia juga terpaksa meninggalkan anak sulung, Syaza Darwisyah, dua tahun lima bulan di bawah jagaan ibu mentua.

Derita si kecil
Menurut doktor, paru-paru Aqil tidak mendapat oksigen yang cukup kerana salur yang membekalkan oksigen dari jantung ke paru-paru telah ditekan oleh salur darah besar. Oleh itu si kecil ini memerlukan bantuan oksigen.

Pada 24 Januari lalu, Aqil ditahan di wad ICU kerana nafasnya tercungap-cungap dan tidak stabil. Di dalam wad tersebutlah pelbagai hal dan penyakit terjadi pada Aqil.

“Mulanya doktor mengatakan paru-paru Aqil tidak normal. Ada sesuatu berkumpul dalamnya dan tidak keluar. Tetapi malam hari tersebut, Aqil demam kuat hingga diserang sawan.

Doktor mengambil air tulang belakangnya kerana takut ada jangkitan pada otak dan Alhamdulillah keputusannya negatif. Berminggu-minggu juga Aqil ditidurkan kerana doktor hendak rehatkan jantungnya (degupan jantung tinggi sangat).

Dalam pada itu Aqil kena jangkitan paru-paru hingga dua minggu. Doktor pun pelik kenapa jangkitan masih tidak hilang walhal macam-macam ubat antibiotik mereka bagi. Selepas dirujuk pada pakar ENT untuk broncoscopy, keputusan menunjukkan selama ini Aqil muntah akan masuk kembali ke dalam paru-paru. Sebab itu jangkitan tak hilang,” ujarnya barulah dia sedar sejak lahir anaknya payah hendak muntah. Dengan kuasa Allah SWT, jangkitan Aqil hilang dan dia berada dalam senarai pesakit ke Institut Jantung Negara (IJN) tetapi dugaan lain pula hadir bila dia mendapat jangkitan lain pula.

“Saya perasan ada bintik-bintik seperti demam campak di belakang telinganya. Keputusan dari makmal mendapatinya ianya herpes (kayap). Hairan macam mana dia dapat kuman tu sebab dia diasingkan dalam bilik seorang diri.

Doktor kata nasib Aqil sudah jatuh ditimpa tangga, dia perlu tunggu paling maksimum enam minggu untuk habiskan ubat antibiotik dan hilangkan jangkitan. IJN tidak terima pesakit yang ada jangkitan kerana Aqil perlu buat pembedahan besar.

Mummy reda lepaskan
Sehari sebelum Tahun Baru Cina, degup jantung Aqil naik mendadak walaupun ketika dia tidur. Menurut Shasheila, sampai ke satu tahap, degup jantung anaknya yang sedang tidur naik hingga 206.

“Tengah malam itu, Aqil hampir koma semula. Degup jantungnya naik turun dari 200 ke 199 ambil masa 30 minit. Saya cuma mampu menatap dengan sebak di dada Aqil yang terbaring dengan dada bergelombang,” ceritanya dengan sedih mengenangkan nasib anak tersayang.

Pagi yang cerah, Shasheila dikejutkan dengan berita yang hampir merentap hati ibunya apabila disuruh berjumpa doktor pakar, dia melihat keadaan Aqil yang amat nazak.

Doktor pakar tersebut mengatakan keadaan anaknya memang teruk. Gas karbon dioksida dalam paru-parunya sampai 200. Orang normal hanya perlukan 30 hingga 40 sahaja.

“Doktor tu suruh saya telefon suami dan tunggu Aqil sebab dia boleh pergi bila-bila masa saja. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana hati saya ketika itu. Dalam kepayahan Aqil menarik dan menghembus nafasnya, saya bisikkan di telinganya, ‘kalau adik nak pergi, pergilah...mummy reda.’ Tapi Alhamdullilah, Allah masih sudi meminjamkan Aqil kepada saya sampai ke hari ini,” ceritanya dalam linangan air mata yang tidak henti mengalir.

Diuji lagi
Walaupun keadaan Aqil sukar dijangka tetapi dia stabil namun ujian Allah SWT sekali lagi melanda Shasheila sekeluarga. Aqil disahkan mendapat jangkitan pada matanya oleh pakar mata.

Ulser yang menyerang mata Aqil akan menjadi parut dan pandangan anak malang ini akan kabur sampai bila-bila. Dalam pada itu, pakar jantung memberitahu, doktor di IJN sudah mengkaji masalah jantung Aqil dan mendapati jantungnya tidak boleh ditampal sebab lubang terlalu besar dan ditakuti timbul masalah lain.

Sebagai penyelesaian ia mungkin akan ‘diikat’ untuk sementara sehingga Aqil berusia dua hingga tiga tahun sebelum menjalani pembedahan seterusnya.

“Kata-kata doktor, ‘budak ini perjalanan dia jauh lagi’ membuatkan saya sebak sampai tak mampu bersuara. Saya sangka bila bedah sudah selesai masalah jantung Aqil tapi rupanya Allah masih beri ujian lagi pada kami. Barulah saya tahu kenapa IJN tak terima Aqil pada awal dulu. Rupanya masalah jatung Aqil terlalu kompleks.

Penghujung bulan Februari lalu, Shasheila diberitahu oleh doktor, paru-paru anaknya semakin teruk tetapi laporan perubatan menunjukkan secara fizikal Aqil semakin kuat.

Namun baru-baru ini, dia dikhabarkan dalam darah Aqil doktor menemui pertumbuhan beberapa kuman.

“Saya tidak berhenti berdoa agar urusan Aqil dimudahkan. Biarlah keadaan yang buruk ini berlalu. Apa pun saya reda, kalau Aqil memang untuk saya, akan saya hamparkan dia dengan kasih sayang tidak berbelah bagi. Tetapi jika Allah merancang sebaliknya, sesungguhnya Dia lebih menyayanginya. Saya relakan...saya halalkan setiap susu untuknya,” akhiri ibu muda ini dalam nada sebak menahan kesedihan yang tiada hentinya.


KISAH 2

" Adik, Bangun! Jangan tinggalkan Ummi! "



Lima tahun lamanya dia menantikan kehadiran zuriat dalam rumah tangga. Saat hati sedang berbunga riang menyambut kelahirannya, dia diduga tanpa amaran. Seorang ibu melakukan apa sahaja demi menyelamatkan nyawa buah hatinya. Ikuti kisah selanjutnya seperti diceritakan kepada HASNITA SAWAL.

Riang rasa hati tatkala disahkan hamil. Bayangkan tempoh masa yang ditunggu untuk merasa sendiri pengalaman mengandung hinggakan Azura Ramli, 33, jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) membela anak saudara sebagai anak angkatnya. Setahun kemudian, Azura disahkan hamil. Masih takkan dilupakan pengalaman kontraksi yang dialami semasa kandungan baru berusia 30 minggu. Awalnya dia fikirkan sakit perut biasa tetapi bila dalam tempoh 10 minit, kontraksi selang 20 saat, Azura menggesa suami ke hospital.

Rupanya bukaan pintu rahim sudah 1 sm dan doktor merancang pembedahan caesarean keesokan hari. Jam 8 pagi rasa kontraksi semakin kerap. Azura cuba menahan rasa hendak bersalin tetapi tidak mampu bila air ketuban pecah dan serta merta kaki bayi terjulur keluar. “Tiga kali teran, bayi saya selamat dilahirkan dengan berat 1.58 kg secara songsang tetapi normal,” ujarnya yang menjaga bayi pra-matangnya selama dua minggu dalam inkubator. Azura bersyukur sangat kerana bila berat anak yang diberi nama Syawal melepasi tahap 1.8 kg, dia dibenarkan pulang ke rumah. Tidak sabar rasanya untuk mendakap si kecil.

Bagai mati hidup semula
Peristiwa malam pertama berada di rumah tak akan dilupakan seumur hidup Azura bergelar ibu. Azura hampir kehilangan anaknya. Dia yang hendak makan malam, meletakkan Syawal dalam katil bayi. Beberapa minit kemudian bila ditoleh sekali lagi, wajah Syawal sudah bertukar warna hitam.

“Bila saya kejutkan, dia tidak bernafas. Saya cuba dengar dekat telinganya tapi tiada sebarang hembusan nafas. Dalam keadaan panik tu saya memang ingat anak dah tak ada.” Namun pengalaman sebagai jururawat membuatkan Azura dengan sepantas kilat melakukan ujian CPR. Ketika itu tubuh badan si kecil sudah hitam legam keseluruhannya. “Sementara saya buat CPR, suami pula menjentik kakinya. Kemudian saya tunggang terbalikkan badan Syawal. Alhamdulillah separuh nyawanya dapat balik.

Kami bergegas ke klinik swasta dan bayangkan saya main redah saja bilik doktor yang sedang ada pesakit. Saya suruh doktor tu buat CPR sekali lagi. Tapi saya yang beri arahan padanya. Saya arahkan, doktor jentik sebelah kaki, suami jentik sebelah lagi. Syukur bila Syawal menangis.”

Terjelepok kerana Syawal
Sangkanya semua sudah selamat tetapi tak sampai beberapa minit, nafas Syawal terhenti sekali lagi. Dugaan apakah ini Ya Allah, bisik hati Azura penuh ketakutan akan kehilangan anak tersayang.

“Saya cakap dengan dia, ‘adik bangun, jangan tinggalkan ummi’. Dengan kuasa Allah, anak saya menangis macam bayi baru lahir. Saya terus jatuh terjelepok sebab bercampur aduk perasaan.” Doktor klinik tersebut bagi surat rujukan untuk terus ke Wad Kecemasan HKL. Dalam pukul 3 pagi, oksigennya turun kembali dan dia terus dipakaikan alat bantuan pernafasan.

Sebulan lamanya Syawal ditahan di wad dan hasil pemantauan dan pemeriksaan, doktor dapati dia ada masalah salur menelan dan bahagian perut yang tidak matang. Segala fungsi dalam perutnya tidak matang membuatkan tiub susu dipasang mengikut mulutnya sehingga usia Syawal lima bulan.Selama tempoh tersebut, Azura mengambil cuti separuh gaji untuk menjaga anaknya.

Urutan membantu
Tiada yang lebih berharga jika dibandingkan nyawa seorang anak. Sebagai ibu, apa sahaja sanggup dilakukan supaya anak sentiasa sihat. Selain pengalaman sebagai jururawat, Azura banyak membaca buku dan majalah terutama Pa&Ma tentang penjagaan anak pra-matang dan bayi bermasalah refluks.

“Kedudukan semasa menyusukan dan posisi tidur kena betul. Saya ikut betul-betul cara penjagaan bayi pramatang. Selain itu urutan juga banyak membantu Syawal.” Menurut Azura, dia mengikut saranan mengurut bayi pra-matang seperti ditunjukkan dalam majalah sejak Syawal keluar dari hospital. Setiap kali lepas mandi, Syawal akan diurut hinggakan minyak bayi akan habis setiap tempoh seminggu.

Bahkan jika anaknya kurang rehat, dia akan mengurut walaupun di tengah malam. Biasanya sambil mengurut, Azura akan bercakap-cakap dengan Syawal dan dia akui sejak lahir hingga usianya kini, banyak perubahan positif berlaku pada Syawal. Jika dilihat fizikal dan keletah Syawal sekarang, memang tidak disangka anak yang aktif ini pernah hampir kehilangan nyawa. Dia yang kini memiliki berat 10.4 kg, sihat dan lasak bermain.

Mudah berjangkit
Lumrah anak yang lahir pra-matang amat mudah dijangkiti kuman. Demam, selesema dan batuk umpama pakej penyakit yang biasa mereka peroleh. Menurut Azura, anaknya pernah demam teruk hingga naik gelembung melepuh pada badannya dan terpaksa mandikan dengan air ubat. Syawal juga pernah diserang sawan hingga kekejangan dan bajunya terpaksa digunting untuk membasahkan badannya.

Ketika cerita ini sedang ditulis, ummi Syawal memberitahu penulis, anaknya baru sahaja keluar dari hospital selepas ditahan selama dua minggu kerana batuk teruk dan disahkan asma serta disyaki serangan virus influenza (ILI). “Suhu badannya naik sehingga 400C dan paling rendah 380C. Segala ubat yang diberi tidak membantu suhu panasnya turun. Dia turut diserang cirit-birit dan muntah yang teruk. Doktor hampir kehilangan idea memikirkan keadaan Syawal. Tapi dia tetap lasak dan main sahaja walaupun ukuran darah putihnya naik. Alhamdulillah selepas dipantau dan diberi makan ubat antiviral influenza, dia kembali sihat,” ujarnya sambil mengakui sejak Syawal lahir, tidur malamnya tidak pernah lena.

Menurut Azura, jika terjaga di tengah malam, dia mesti usik dan sentuh anaknya. Bila ada gerakan daripada si anak, lega rasa hatinya kerana Syawal masih lagi menghembuskan nafasnya.


Dapatkan Majalah Pa&Ma keluaran Mei 2010 di pasaran.

2 comments:

terpatrisinarabadi said...

pengorbanan seorang ibu yg tidak pernah jemu erti kepayahan.....

musafeer said...

Maha Suci Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sebak membaca luahan para ibu yang sangat tabah mengharungi ujian-Nya. Mudah2an Allah s.w.t kurniakan ketabahan dan kesihatan berpanjangan buat para ibu dan anak2 ini. Amiin.. Ya Rabbal 'Alamiin..


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails